https://auniputeriku.blogspot.com/b/post-preview?token=GEDY3VABAAA.bNh4MhS6AjaX16cJwVEOYGtMXBhAAkS0

Wednesday, 4 November 2015

TIPS BAYI KECIL

EMPAT CARA ELAK ANAK KECIL DIGANGGU JIN DAN SYAITAN

Secara fitrahnya, anak-anak kecil adalah tergolong daripada kalangan ahli syurga. Mereka ibarat kain putih yang tidak dinodai sebarang kekotoran maksiat dan dosa. Namun begitu, anak-anak kecil juga tidak terlepas daripada gangguan syaitan yang telah berjanji dengan Allah SWT untuk menyesatkan manusia sehingga hari kiamat. Abu Hurairah meriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang bermaksud:
Tidaklah bayi yang dilahirkan kecuali syaitan akan menyentuhnya ketika dia lahir, sehingga mereka menangis kuat kerana sentuhan syaitan tersebut, kecuali Maryam dan puteranya. (Sahih Bukhari)
Oleh itu, Rasulullah SAW telah berpesan kepada para sahabat baginda agar sentiasa menjaga anak-anak kecil mereka daripada gangguan jin dan syaitan. Perkara-perkara berikut antara pesanan Rasulullah SAW yang dapat menjadi panduan kita semua.
1. Larangan Berkeliaran di Waktu Senja
Ketika fajar mulai tenggelam, suruhlah anak-anak masuk ke dalam rumah kerana waktu itu syaitan banyak berkeliaran. Hal ini ditegaskan Rasulullah SAW dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah bermaksud:
Jika kegelapan malam datang, atau kalian berada pada petang hari, jagalah anak-anak kalian kerana pada saat itu syaitan sedang berkeliaran. Jika malam telah berlalu beberapa saat, bolehlah kalian biarkan mereka dan tutuplah pintu rumah dan sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup. (Sahih Bukhari)
Selain itu, baginda SAW menyarankan agar rumah diserikan dengan laungan zikrullah. Hal ini menyedarkan kita bahawa ahli keluarga tidak boleh dilalaikan dengan perkara maksiat termasuklah hiburan duniawi. Misalnya, elakkan daripada memasang televisyen, radio dan internet pada waktu Magrib dan memastikan semua anak-anak menunaikan solat Magrib serta membaca al-Quran secara berjemaah.
2. Menutup Bekas Makanan dan Pintu Rumah di Malam Hari
Rasulullah SAW juga mengatakan bahawa jin selalu berkeliaran pada waktu Isyak untuk mengganggu manusia. Daripada Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tutuplah bejana (bekas menyimpan makanan), ikatlah tutup kendi (bekas menyimpan minuman), tutup pintu-pintu rumah dan jagalah anak-anak kecil kalian pada waktu Isyak kerana saat itu adalah waktu bagi jin untuk berkeliaran dan menculik, dan padamkanlah lampu-lampu ketika kalian tidur, karena binatang-binatang berbahaya bila datang dapat menarik sumbu lampu sehingga dapat berakibat kebakaran yang menyebabkan terbunuhnya para penghuni rumah. (Sahih Bukhari)
Hadis di atas menyarankan ibubapa agar berhati-hati dengan aspek kesihatan dan keselamatan anak-anak. Misalnya, baginda SAW melarang ahli keluarga mendedahkan makanan dan minuman yang berbaki tanpa ditutup. Anak-anak kecil juga tidak digalakkan dibawa keluar pada waktu malam dibimbangi akan diganggu jin sehingga menyebabkan mereka menangis dan tidak dapat tidur. Dari aspek keselamatan, Rasulullah SAW menyuruh para sahabatnya menutup lampu (pelita) yang boleh mengakibatkan kebakaran. Justeru, di zaman moden ini, ibubapa hendaklah memastikan keadaan elektrik di dalam rumah tidak membahayakan para penghuninya.
3. Mendoakan Anak Kecil Yang Sakit Akibat Gangguan Syaitan
Suatu ketika, Ya’laa bin Murrah berjalan bersama Rasulullah SAW. Di pertengahan jalan, mereka bertemu dengan seorang wanita bersama anak kecilnya yang sakit. Wanita itu mengadukan kepada Rasulullah SAW tentang penyakit anaknya yang kerap berulang dalam sehari. Lalu Rasulullah SAW meminta anak itu didekatkan kepada baginda SAW. Baginda kemudiannya membukakan mulut anak itu dan meniupnya tiga kali sambil membaca:
بِسْمِ اللَّهِ أَنَا عَبْدُ اللَّهِ اخْسَأْ عَدُوَّ اللَّه
Maksudnya: Dengan nama Allah, saya adalah hamba Allah, keluar dan pergilah wahai musuh Allah. (Musnad Ahmad)
4. Mengajarkan Anak-Anak Mengamalkan Doa Pelindung Diri
Selain membacakan doa kepada anak-anak kecil, ibubapa juga perlu mengajarkan doa pelindung diri kepada anak-anak yang sudah tahu membaca. Doa tersebut diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru:
بِسْمِ اللَّهِ أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ غَضَبِهِ وَعِقَابِهِ وَشَرِّ عِبَادِهِ وَمِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ وَأَنْ يَحْضُرُونِ
Maksudnya: Dengan nama Allah, aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dan dari kemurkaanNya dan azabNya, serta dari kejahatan hamba-hambaNya, dari bisikan-bisikan syaitan dan kedatangannya." (Musnad Ahmad)
Doa tersebut hendaklah dibaca oleh setiap anak-anak sebelum mereka tidur agar tidak diganggu oleh syaitan. Malahan, menurut Abdullah bin Amru, beliau telah memaksa semua anaknya menghafal doa yang diberikan oleh Rasulullah SAW ini dengan cara menggantungkan doa ini di leher anaknya.
Semua cara tersebut diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW untuk menjauhkan anak-anak daripada gangguan jin dan syaitan. Justeru, adalah penting kepada setiap ibubapa mendahulukan saranan baginda SAW berbanding mengamalkan petua-petua yang tidak menepati sunnah baginda rasul seperti memakai tangkal azimat, mempercayai bomoh dan membaca jampi. Yang paling utama adalah, ibubapa sendiri perlu menjadi hamba Allah yang mengikuti segala perintahNya serta menjauhi setiap laranganNya.
(Artikel ini telah dimuatkan dalam Majalah QA, Moga bermanfaat)

3 comments: